Tuesday, 13 February 2007

Menyerahkan Diri Kepada-Nya Akan Beroleh Pahala

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


SYEIKH Sya'rawi berkata: Allah s.w.t. menjelaskan bagaimana cita-cita Ahli Kitab yang ingin memurtadkan orang beriman. Hal ini tidak lain tidak bukan semata-mata hasad daripada diri mereka. Seterusnya Allah s.w.t. mahu menjelaskan bagaimana sifat bencinya Ahli Kitab dan berkata: “Sesungguhnya mereka berdasarkan neraca keadilan dan kebenaran yang kami ikutinya iaitu manhaj Allah s.w.t..

Justeru, Allah s.w.t memerintahkan orang beriman supaya thabit dan tetap dengan iman di samping melaksanakan segala taklif syarak. Inilah sebaik-baik penolakan terhadap mereka. Antara taklif syarak itu yang didatangkan Islam mempunyai waktu, masa dan sedikit amalan seperti rukun Islam yang lima.

Justeru, disebut dalam ayat berikut:

Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan daripada kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.

Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani.” Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah ke mari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar.”

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintah-Nya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (al-Baqarah: 110 hingga 112)

Firman Allah s.w.t: Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat. Peliharalah dua rukun dan tiang Islam iaitu solat dan zakat serta dekatilahmu kepada-Nya dengan beribadat sama ada bentuk ibadat badaniyah (nisbah kepada jasad) atau maliyah (nisbah kepada harta) dan apa jua yang kamu dahulukan daripada kebaikan untuk diri kamu. Al-Baghawi dalam tafsirnya Ma`alim al-Tanzil berkata: “Ketaatan dan amalan salih. Kamu tentu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah.”

Sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yang kamu kerjakan. Allah Maha Pemerhati atas segala amalanmu dan akan dibalas pada Hari Akhirat. Demikianlah al-Quran membangkitkan kesedaran kaum Muslimin dan memusatkan (perhatian mereka) kepada sumber bahaya dan komplot jahat (kaum Yahudi) serta menggemblengkan rasa kewaspadaan mereka terhadap niat-niat yang jahat, tipu daya yang licin dan hasad dengki yang keji itu.

Kemudian al-Quran membimbing mereka agar sentiasa bersiap sedia kepada Allah dan menunggu perintah-Nya serta meletakkan tindakan mereka di bawah keizinan-Nya. Sementara menunggu perintah itu, al-Quran menyeru mereka (mengambil sikap) memberi kemaafan dan keampunan untuk menyelamatkan hati mereka daripada hasad dengki dan dendam kesumat.

Kemudian ayat-ayat yang berikut terus mematahkan dakwaan-dakwaan kaum Ahli Kitab Yahudi dan Nasara terutama dakwaan mengatakan bahawa mereka sahaja (umat) yang mendapat hidayat dan syurga Tuhan, tiada orang lain yang akan memasukinya! Tetapi pada waktu yang sama setiap puak Ahli Kitab menentang satu sama lain dan menuduh lawannya sebagai puak yang tidak mempunyai apa-apa pegangan.

Ketika menghuraikan dakwaan-dakwaan kaum Yahudi yang panjang lebar itu, al-Quran menjelaskan hakikat yang sebenar dan memberi kata pemutusnya mengenai (dasar) amalan dan balasan. Kaum Ahli Kitab yang menentang kaum Muslimin di Madinah adalah kaum Yahudi. Ini kerana di sana tidak ada kumpulan kaum Nasara yang mengambil sikap kaum Yahudi. Tetapi nas di sini merupakan satu nas umum yang menghadapi dakwaan-dakwaan golongan itu.

Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani.” Yahudi telah mendakwa bahawa semua golongan tidak berhak masuk syurga kecuali menganut ajaran Yahudi. Begitu juga Kristian mendakwa semua golongan tidak akan masuk syurga kecuali menganut ajaran Kristian. Kaum Yahudi pula mendakwa: “Tidak akan masuk syurga melainkan hanya orang-orang Yahudi sahaja.” Sementara kaum Nasara pula mendakwa: “Tidak akan masuk syurga melainkan hanya orang-orang Nasara.”

Dakwaan ini tidak berlandaskan sebarang dalil selain daripada dakwaan kosong sahaja. Oleh itu, Allah s.w.t. mengajar Rasulullah s.a.w. mencabar mereka supaya mengemukakan dalil. Ibn Abbas berkata: “Orang Yahudi Madinah dan Kristian Najran bertelingkah di sisi Nabi s.a.w.. Golongan Yahudi mendakwa bahawa orang Kristian tiada apa-apa keistimewaan dan tidak layak masuk syurga kecuali yang menganut ajaran Yahudi dan mengkufurkan dengan Injil dan Isa. Sedangkan dakwaan Kristian pula tidak layak masuk syurga kecuali hanya golongan kristian.

Ini sebenarnya hanyalah angan-angan mereka. Mimpi-mimpi mereka dan khayalan sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah ke mari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, Al-Nasafi dalam Madarik al-Tanzil berkata: “Sila kemukakan hujah kamu atas keistimewaanmu dapat masuk syurga.”

Kepercayaan

“Wahai Muhammad, katakanlah kepada mereka: “Datangkan kepadaku segala bukti yang jelas atas dakwaanmu sekiranya benar.”

Itulah angan-angan mereka. Katakanlah: “Bawalah hujah-hujahmu jika kamu benar.” Di sini al-Quran menjelaskan satu dasar umum daripada dasar-dasar kepercayaan Islam iaitu balasan adalah mengikut amalan tanpa memilih kasih terhadap sesuatu umat, golongan atau individu. (Yang menjadi asas) balasan adalah Islam dan ihsan (menjunjung perintah dengan sebaik-baiknya) bukannya nama dan gelaran.

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan Al-Alusi berkata dalam Ruh al-Ma’ani: “Ini merupakan penolakan atas dakwaan mereka di samping mengisbatkan daripada apa yang mengandungi penafian masuk syurga di kalangan yang lain.”

Sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintah-Nya), yang dimaksudkan dengan serah diri ialah dengan mengikhlaskan dan maksud wajah. Di sini terdapat dua pendapat:

* Bahawa itu adalah agama.

* Bahawa itu adalah amalan.

Bahkan yang berhak masuk syurga hanya daripada kalangan yang benar-benar menyerah diri, tunduk dan patuh serta mengikhlaskan bagi Allah s.w.t.. Di sini ditonjolkan ciri Islam yang pertama iaitu penyerahan muka (wajah) yang melambangkan penyerahan seluruh diri. Kata-kata aslam bererti penyerahan diri yang mencakupi kedua-dua segi kepercayaan batin dan amalan yang zahir sekali. Namun demikian ia memerlukan bukti yang jelas terhadap penyerahan itu iaitu:

Orang yang beriman membenarkan dan mengikut Rasulullah s.a.w.. Ia menumpukan seluruh dirinya kepada Allah s.w.t. dan memusatkan seluruh perasaannya kepada Allah s.w.t. berbanding dengan orang yang menumpukan dirinya kepada kejahatan dan dosa. Sifat Islam atau penyerahan diri merupakan kesatuan dan persamaan antara perasaan dan tingkah laku, akidah dan amalan, iman hati dan ihsan amali. Dengan kesatuan ini, akidah Islam dapat berubah menjadi satu sistem hidup yang lengkap, dan dengan kesatuan ini juga sahsiah manusia menjadi sepadu dengan segala kegiatan dan haluan hidupnya serta dengan kesatuan itu wajarlah seseorang Mukmin itu menerima seluruh pemberian ini.

Maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka. Al-Samarqandi dalam tafsirnya Bahr al-`Ulum berkata: “Daripada azab ketika takutnya ahli neraka.” Dikatakan juga takut digunakan untuk perkara akan datang. Sedangkan dukacita untuk perkara yang telah lalu.

Begitu juga disebut takut terbahagi kepada tiga:

1. Takut yang berkekalan. Maka sudah tentu menjadi kebaikan bagi orang Islam.

2. Takut azab atas terputusnya boleh membawa keamanan bagi orang yang bertaubat.

3. Takut hari himpunan dan perhitungan. Menjadi keamanan bagi orang yang berihsan. Dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Hanya bagi mereka pahala amalan dan tidak berasa takut pada hari akhirat. Begitu juga dukacita atau keluh kesah, sebaliknya mereka mendapat nikmat yang berkekalan. Sebelum ini al-Quran telah pun menjelaskan dasar ini dari segi hukuman sebagai menjawab dakwaan mereka (kaum Yahudi) yang mendakwa: “Kami tidak akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu sahaja.”

- DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah pensyarah di KUIM

No comments: