Sunday 10 October 2010

Persaudaraan di Jalan Dakwah


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Dalam kafilah dakwah ini, kita sememangnya memerlukan persaudaraan. Persaudaraan (mungkin lebih tepatnya ukhuwah) adalah nikmat yang sangat mahal bagi kita.

Jasad kita boleh tercedera manakala darah, air mata dan peluh boleh meluncur keluar tapi semuanya tidak boleh menghilangkan nikmat persahabatan, persaudaraan atau ukhuwah di jalanNya.

Kesulitan di sepanjang jalan ini tidak seberapa kalau nak dibandingkan dengan anugerah dan kurnia Allah yang sangat besar dan hanya dirasakan oleh mereka yang beriman yang saling memelihara persaudaraan atas nama Allah.

Namun, bagaimanakah kita boleh memiliki nikmat persaudaraan itu?

Di jalan ini, kita mesti mampu :

1. Memelihara sikap lemah lembut.
2. Berusaha menjaga hubungan baik dengan teman seperjalanan.

Sememangnya itu bukan suatu perkara yang mudah kerana kejayaan kita dalam menjaga persaudaraan di jalan ini boleh menjadi ukuran kadar keberhasilan kita memiliki hubungan sosial yang baik dengan masyarakat.

Mari kita dengarkan suatu ungkapan seorang ulama' dakwah Dr. Adil Abdullah al-Laili di dalam kitabnya "Musafir fi Qithari Dakwah" (Musafir di dalam kereta dakwah) :

"Siapa sahaja yang berhasil melakukan perjalanan dengan para pendakwah dalam kafilah ini, bererti ia akan mampu hidup dengan manusia yang lain dan ia juga akan berhasil menasihati dan mengarahkan mereka kerana ada seorang mukmin yang baik bagi dirinya namun ia kurang baik bila ia bergabung bersama orang lain dalam kafilah ini."

Sepertimana ketika kita melakukan perjalanan yang sebenarnya, seorang musafir mesti menolong saudara-saudaranya dalam perjalanan.

Persaudaraan yang tulus di jalan ini menjadi perhiasan di saat bahagia dan pelindung di saat kesulitan. Maka, tanpa ikatan persaudaraan yang kuat, seseorang akan sukar bertahan lebih-lebih lagi dalam menghadapi kesempitan.

Itu pula yang menjadi sebab kenapa para pendakwah di zaman ini menjadikan ukhuwah sebagai salah satu syarat dalam bai'ah (janji keanggotaan) mereka.

Dalam `Risalah Ta'lim' , Imam Hasan Al-Banna menyebutkan :

"Hendaknya hati dan jiwa mereka (para anggota) terikat dengan ikatan aqidah. Aqidah adalah ikatan paling kuat dan paling mulia. Ukhuwah adalah saudara keimanan, sedangkan perpecahan adalah saudara kekufuran. Awal kekuatan adalah kekuatan persatuan. Tidak ada persatuan tanpa cinta. Paling minima cinta yang tumbuh di antara mereka adalah bersihnya hati dari perasaan yang tidak baik dengan sesama mereka. Dan cinta yang paling tinggi adalah `itsar' atau mendahulukan kepentingan saudaranya."

Persaudaraan yang dikehendaki juga tidak boleh berlebihan, ertinya, cinta tidak boleh mengabaikan asas keadilan dan tujuan hingga membawa kepada sikap fanatik buta dan `ta'ashub'.

Syariat Islam melarang kita terlalu :

a. Keras dalam mencaci.
b. Berlebihan dalam memuji.

Syariat juga melarang sikap berlebihan dalam segala perkara.

Berlebihan dalam cinta akan mendorong seseorang untuk meremehkan hak orang lain dan setiap sesuatu yang melewati batasnya ia akan memberi kesan kepada orang lain pada perkara yang bertentangan dengannya.

Neraca untuk mampu mencintai dengan adil adalah dengan melakukan `tawashi' atau saling mewasiatkan dalam kebenaran.

Seseorang mestilah mampu :

1. Menasihati saudaranya.
2. Mengingatkannya untuk kembali pada kebaikan.
3. Memerintahkannya untuk menghindari larangan Allah.

"Seorang mukmin dengan mukmin lainnya itu seperti dua tangan yang saling membersihkan dan menyucikan," begitulah kata-kata seorang ulama'.

Dalam kerangka itu, seorang pendakwah sebagaimana seorang musafir :

  1. Perlu berbicara dan bertukar fikiran dengan teman seperjalanannya.
  2. Semestinya mampu menyampaikan kritikan atau menolak pendapat.
  3. Berusaha untuk meluruskan penyimpangan yang berlaku.

Memang, ada sebahagian orang yang memandang bahwa :

a. Penolakan atau kritikan adalah sebahagian dari kebencian.
b. Dialog itu dapat membawa kepada perselisihan.

Tetapi, ini adalah satu cara berfikir yang agak keliru.

Seorang manusia akan tetap berbeza pendapat kerana mereka memang berbeza dalam hal :

1. Pemahaman dan akal.
2. Pengetahuan dan pengalaman.
3. Perasaan dan pandangan.

Ini adalah kerana dalam wilayah-wilayah tersebut pasti ada perbezaan dan perselisihan.

Namun, yang diperlukan adalah bagaimana seseorang boleh memandang pendapat yang dianggapnya tidak benar itu bagi diberi masukan (input) dengan baik.

Berdiskusi dan berhujah tetap diperlukan untuk menjelaskan kebenaran dan menjelaskan jalan.

Jika itu tujuan dan matlamatnya, maka segala :

a. Kritikan.
b. Pembetulan.
c. Hujahan.
d. Diskusi.
e. Penolakan.

tidak sepatutnya membawa kepada permusuhan atau rasa benci malah sebaliknya suasana kasih dan cinta yang semakin kuat seharusnya muncul.

Imam Ibnu Taimiyah menyebutkan dalam kitab Majmu' Al Fatawanya bahwa para sahabat Rasulullah saw juga berdebat dalam menyelesaikan suatu masaalah melalui musyawarah dan saling menasihati namun mereka tetap memelihara kedekatan, kebersihan niat dan persaudaraan dalam agama.

Maka dari sinilah para ulama' terdahulu pun biasa saling tidak sepakat dalam suatu masalah.

Diskusi di antara para pendakwah itu penting kerana ianya akan dapat :

1. Memperluaskan pemikiran.
2. Mempertajamkan pandangan.
3. Meluruskan kesalahan.
4. Memperbaiki kesilapan.
5. Saling tolong menolong dalam kebaikan.

Ilmu secara teorinya tidak akan mencapai tingkatan kesempurnaan selama mana tidak ditimbang dengan akal.

Imam Syafi'e pernah ditanya apakah kemampuan akal itu merupakan potensi yang dibawa sejak dari kelahiran?

Beliau menjawab :

"Tidak, tapi akal itu adalah hasil dari pergaulan dengan ramai orang dan berdiskusi dengan mereka."

Berkata Ibnu Abbas ra :

"Mengunyah garam dalam sebuah jamaah masih lebih baik daripada memakan manisan dalam perpecahan."

Ada persiapan yang mesti dilakukan agar seseorang dapat memiliki kesediaan untuk melontarkan pendapat dan menerima kritikan dengan baik.

Menurut Imam Al Mawardi dalam kitabnya `Adabu dunya wa din' :

"Yang paling utama adalah kesediaan meringankan beban saudara kita.

Kenapa?

Ini adalah kerana, bagaimana seseorang mahu mendengar dan menyahut dengan baik jika ia masih memiliki beban yang menghantui dirinya.

Oleh yang demikian, untuk menjalin persaudaraan yang tulus, seseorang mesti memiliki keyakinan dahulu akan kasih sayang sahabatnya.

Permulaan haknya adalah meyakini kasih sayangnya, kemudian :

a. Menjalin persaudaraan dengannya dengan memberi keluasan padanya pada selain yang haram.
b. Menasihatinya baik secara sembunyi atau terang terangan.
c. Meringankan bebannya.
d. Menolongnya dari apa yang menimpa dirinya.

Sesungguhnya menemaninya secara zahir semata-mata adalah kecurangan dan meninggalkannya dalam kesulitan dan kesusahan adalah penghinaan."

Demikianlah kedudukan nasihat dari orang yang menasihati.

Apabila hati bersih maka ia akan semakin bersedia menerima nasihat dan mendengarkan nasihat namun apabila hati ternoda dan terkesan dengan berbagai masaalah seperti :

  1. Kesibukan.
  2. Kesakitan.
  3. Keletihan.
  4. Kecintaan kepada dunia.
  5. Kepentingan diri.

maka semua itu akan menghalangi seseorang untuk mendengar dengan teliti.

TIGA RUKUN PERSAUDARAAN

Kemesraan persaudaraan di jalan Allah dibangunkan di atas tiga perkara :

  1. Ta’aruf (Saling kenal mengenal).
  2. Tafahum (Saling memahami).
  3. Takaful (Saling berkongsi beban).

Ketiga-tiganya merupakan tiang persaudaraan yang tidak boleh luput dari roda perjalanan dakwah.

`Ta'aruf' bermula dari :

  1. Pengenalan secara fizikal.
  2. Memahami ciri-ciri dan karakter.
  3. Mendalami kadar keseriusan dalam bertaqarrub kepada Allah dan perkara-perkara lahiriyah lainnya.

Rasulullah saw bersabda :

"Seorang mukmin itu makhluk yang cepat mesra, maka tidak ada kebaikan pada orang yang tidak cepat mesra dan tidak boleh dimesrai." (HR Ahmad dan Thabrani)

`Ta'aruf'`yang baik akan :

  1. Mengurangkan kekeringan dan keretakan hubungan sesama muslim.
  2. Membuatkan hati menjadi lembut.
  3. Mampu melenyapkan bibit perpecahan.

Apabila wilayah `ta'aruf' sudah terbentang, maka akan tumbuh pula sikap `tafahum'.

`Tafahum' akan menjaga kesegaran jamaah dakwah kerana dakwah dipikul oleh orang-orang yang :

a. Mempunyai keterpautan hati.
b. Saling bertoleransi.
c. Saling berkompromi untuk perkara-perkara yang mubah.

Kepentingan `tafahum' akan kian terasa ketika pendukung jamaah dakwah terdiri dari berbagai jenis orang baik suku, budaya mahupun bahasanya.

Semua karakter kesukuan mesti lebur dalam tradisi `tafahum' dalam persaudaraan walaupun kedekatan tradisi dan budaya juga bermanfaat bagi kejayaan dakwah.

Imam Malik pernah berkata :

"Lihatlah orang dengan kebenaran dan jangan sebaliknya, iaitu engkau lihat kebenaran dengan orang."

Puncak `tafahum' ada pada tahap "berbicara" pada satu bahasa di mana sebagai satu karakter khas yang mewarnai seluruh aktivis jamaah dakwah adalah :

  1. Mereka berfikir dengan pola pemikiran yang satu.
  2. Berbicara dengan bahasa yang satu.

Sesiapa yang tidak memahamkan dirinya dengan konsep `tafahum' ini akan gagal memasuki tahap persaudaraan berikutnya, iaitu `takaful'.

‘Takaful’ adalah intisari persaudaraan, di mana lahir darinya ‘itsar’(mendahulukan sesama saudara) iaitu puncak dari segala amal ukhuwah.

`Takaful' tidak semestinya bahu membahu dalam memberikan jaminan kebendaan.

Ia boleh dalam bentuk bahu membahu :

a. Menunaikan kerja.
b. Saling membela orang yang dizalimi.
c. Saling mengirim doa.

MEMELIHARA SEMANGAT PERSAUDARAAN

Bagi memastikan semangat persaudaraan akan tetap terpelihara dan berterusan di antara para pendakwah dalam kafilah dakwah ini, perkara-perkara berikut perlulah di ambil perhatian :

1. Bercita-cita dan bersemangat untuk mewujudkan persaudaraan yang benar dan sempurna di antara mereka.

2. Bersungguh-sungguh untuk tidak mengeruhkan kemurnian dan kesucian hubungan mereka sedikitpun.

3. Menyedari bahwa persaudaraan dalam agama adalah sebaik-baik wasilah yang dapat mendekatkan diri mereka kepada Allah.

4. Tetap memelihara kemuliaan darjat yang tinggi.

5. Bercita-cita untuk sentiasa memperhatikan hak-haknya sehingga mampu membersihkan perkara-perkara yang boleh mengeruhkan suasana dan dari bisikan-bisikan syaitan.


Ukhuwah Islamiyah atau persaudaraan Islam yang sejati akan panjang usianya bahkan hingga ke hari akhirat kelak bersesuaian dengan sebuah hadis Rasulullah saw :

"Di sekitar Arasy ada menara-menara dari cahaya. Di dalamnya ada orang-orang yang pakaiannya dari cahaya dan wajah-wajah mereka bercahaya. Mereka bukan para nabi atau syuhada'. Para nabi dan syuhada cemburu kepada mereka." Ketika ditanya para sahabat, Rasulullah menjawab, "Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana Allah, saling bersahabat kerana Allah dan saling berkunjung kerana Allah." (HR Tirmizi)

Ya Allah, jadikanlah kami orang-orang yang menjalinkan hubungan persaudaraan antara sesama kami semata-mata keranaMu. Sesungguhnya tiada tujuan lain kami berada di atas jalan dakwah ini melainkan untuk sama-sama menjadikan kalimahMu tinggi dan terpacak kuat di muka bumi ini. Jauhkanlah kami dari menuntut apa-apa kepentingan dari saudara-saudara kami dalam kami bersahabat dan bersaudara di jalanMu yang mulia ini.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

IKRAM

No comments: