☆Tadabbur Kalamullah 26 Safar 1441H☆
تَكَادُ ٱلسَّمَـٰوَ ٰتُ یَتَفَطَّرۡنَ مِن فَوۡقِهِنَّ وَٱلۡمَلَـٰۤىِٕكَةُ یُسَبِّحُونَ بِحَمۡدِ رَبِّهِمۡ وَیَسۡتَغۡفِرُونَ لِمَن فِی ٱلۡأَرۡضِۗ أَلَاۤ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِیمُ
"Alam langit nyaris-nyaris pecah dari sebelah atasnya (kerana ngeri dan takutnya kepada kemurkaan Allah terhadap penduduk bumi yang lupakan kebesaran Allah sehingga menyeleweng dari jalan yang benar); dan malaikat bertasbih dengan memuji Tuhannya serta memohon ampun bagi makhluk-makhluk yang ada di bumi. Ingatlah! Sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" [Surah asy-Syura 5]
#Betapa dahsyatnya kebesaran dan keagungan Allah sehingga langit yang kukuh, teguh dan kuat itu hampir-hampir pecah berkecai disebabkan takut dan gerun akan kehebatanNya. Inilah kehebatan dan kebesaran Allah swt.
#Oleh itu, jangan sesekali manusia yang kerdil berani menderhakai Allah dan hidup dengan watak ingin menandinginya Allah swt. Sombong dengan kekuasaan. Megah dengan jawatan dan kekayaan. Sewenang-wenangnya menggunakan kedudukan untuk menzalimi orang bawahan serta bermaharajalela melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Semua ini mengundang kemurkaan dan kemarahan Allah.
#Firman Allah swt di dalam hadis Qudsi:
العظمة إزاري، والكبرياء ردائي، فمن نازعني واحداً منهما عذبته
"Keagungan adalah pakaianKu, kesombongan adalah selendangKu, barangsiapa yang mencabutnya (ingin mengambil) dariKu salah satu dari keduanya, maka Aku akan mengazabnya" (HR Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad)
#Ini menunjukkan sifat mengagungkan diri, sombong atau membesarkan diri, adalah sifat yang hanya layak bagi Allah swt, dan langsung tidak layak bagi makhluk.
#Berkata Imam Ibnul Qayyim rahimahullah: "Seksa Allah hanyalah muncul dari sifat murkaNya dan tidaklah neraka dinyalakan kecuali kerana sebab murkaNya"
#Kemurkaan Allah adalah disebabkan dosa dan kederhakaan yang dilakukan oleh manusia yang lupakan perintah Allah dan memilih jalan kesyirikan.
#Ibnu Abbas r.huma berkata:
الكَبِيْرَةُ كُلُّ ذَنْبٍ خَتَمَهُ اللهُ بِنَارٍ، أَوْ غَضَبٍ، أَوْ لَعْنَةٍ، أَوْ عَذَابٍ
"Dosa besar adalah yang Allah akhiri dengan ancaman neraka, atau kemurkaan, atau laknat atau azab seksa".
#Jika tidak kerana ampunan dan rahmatNya nescaya Allah menyegerakan hukuman dengan membinasakan kita semua, makhlukNya yang derhaka. Disebabkan para malaikat yang sentiasa bertasbih, bertahmid memuji Allah serta memohon keampunan untuk makhluk di bumi maka dengan rahmat dan kasih sayangNya, kita tidak dibinasakan.
ٱلَّذِینَ یَحۡمِلُونَ ٱلۡعَرۡشَ وَمَنۡ حَوۡلَهُۥ یُسَبِّحُونَ بِحَمۡدِ رَبِّهِمۡ وَیُؤۡمِنُونَ بِهِۦ وَیَسۡتَغۡفِرُونَ لِلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ۖ رَبَّنَا وَسِعۡتَ كُلَّ شَیۡءࣲ رَّحۡمَةࣰ وَعِلۡمࣰا فَٱغۡفِرۡ لِلَّذِینَ تَابُوا۟ وَٱتَّبَعُوا۟ سَبِیلَكَ وَقِهِمۡ عَذَابَ ٱلۡجَحِیمِ
"Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): "Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka" [Surah Ghafir 7]
♡Allah, Tuhan Yang Maha Agung lagi Maha Perkasa. Memiliki kebesaran dan keagungan yang tiada tandingan. Takutlah akan Allah dan jangan sesekali melakukan sesuatu yang mendatangkan kemarahan dan kemurkaanNya. Lakukan kebaikan dan mohonlah keampunan kepadaNya♡
Wednesday, 27 November 2019
Subscribe to:
Posts (Atom)